Thursday, September 4, 2008

Kem Belia Musim Panas UNIW


Sudah 8 hari rupanya aku berada di Turki. Masa berlalu begitu pantas dan 3 hari lagi aku akan pulang ke Malaysia.Perhimpunan belia daripada 20 negara seluruh dunia, berhimpun dan berbincang mengenai masalah umat merupakan satu kenangan manis yang tidak dapat digambarkan dengan kata2.
Pertemuan dengan NGO2 Islam yang telah banyak berkhidmat di serata dunia telah membuka mataku untuk melihat bagaimana cara orang Turki bekerja. Dengan sejarah tamadun Islamnya yang bertahan selama 730 tahun, kerajaan Khilafah Uthmaniah berakhir dengan penuh tragedi pada tahun 1924.
Kem Belia Musim Panas pertama kali diadakan oleh Kesatuan NGO2 Dunia Islam (UNIW) di Turki pada 15-24 Ogos 2008. Kem ini bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan antara NGO2 yang berada dalam dunia Islam, khususnya golongan belia.
Kem ini telah disertai oleh belia terdiri daripada mereka yang berusia 18-26 tahun dari Malaysia, Indonesia, Iraq, Kazakhstan, Bangladesh, Pakistan, Mesir, Bahrain, Syria, Tajikistan, Cameroon, Albania, Bosnia & Herzegovina, Serbia, Sanjak, Sudan, Djibouti, Macedonia, Kosovo dan tuan rumah, Turki.
Seramai 50 orang peserta telah menyertai kem ini di mana mereka telah dibawa melawat beberapa NGO yang berpusat di Turki. Antara NGO2 yang dilawati ialah Bab Al-A'lam, sebuah institut yang menyediakan bantuan untuk mereka yang berminat untuk mempelajari bahasa Turki. Para pelajar juga berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah di universiti2 terpilih di Turki.
Selain itu, para peserta telah dibawa ke beberapa pertubuhan yang berkaitan dengan pendidikan, antaranya Yayasan Safa, Yayasan Khairat, IHH, Deniz Feneri dan Yayasan Sastera & Sains.
Turki, disebalik imej sekular yang dimulai oleh Mustafa Kamal Attaturk mempunyai fondasi sosio-ekonomi yang mantap terutama masyarakat sivilnya. Mereka bergerak mendepani kemelut masyarakat yang dahagakan Islam dan sentiasa menyokong usaha2 untuk mengembalikan kegemilangannya.
Kerajaan Turki yang diperintah oleh Parti Keadilan & Pembangunan (AKP) sejak 2 penggal yang lalu telah mencetuskan fenomena baru di kalangan masyarakat Turki yang hampir separuh daripadanya menyokong AKP. Pendekatan kreatif yang diambil parti berkenaan di mana kelompok sekularis 'ditenangkan' atas hujah kerajaan pimpinan Recep Tayyip Erdogan itu telahpun memenuhi segala persiapan untuk menjadi sebahagian daripada anggota NATO. Di samping itu, keadaan ekonomi juga semakin pulih akibat keidakstabilan politik sewaktu rampasan kuasa oleh tentera pada 1997.
Di pihak yang lain, kelompok Islamis semakin yakin terhadap AKP memandangkan hubungan dengan Syria, Malaysia, Iran dan beberapa lagi negara Islam semakin erat. UNIW yang ditubuhkan pada 2005 telah memberi suatu nafas baru kepada NGO2 yang berada di dalam dunia Islam. Bergerak melangkaui batasan negara dan agama, NGO juga mempunyai ruang yang luas untuk menjalankan aktiviti2 mereka.
Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan adalah sewaktu mengerjakan solat Subuh pada pagi hari Ahad di Masjid Sultan Ahmet. Masyarakat Muslim Turki berbondong-bondong hadir untuk solat berjemaah. Secara kasarnya, lebih 10 ribu orang hadir ke masjid tersebut pada setiap pagi Ahad. Yang tua khusyuk bermunajat kepada Allah sambil menghayati gemersik alunan Al-Quran, yang muda kelihatan girang sekali untuk meyertai lautan manusia yang melimpahi kaki-kaki lima kedai walaupun gadis-gadis mereka hanya berjilbab sewaktu bersolat.