Friday, January 30, 2009

Warkah buat Pemimpin...

Sudah lama aku tak merasa meluap-luap seperti ini. Sekadar mendengar daripada orang lain tentang kebobrokan sesetengah pemimpin, aku masih mampu untuk tersenyum dan menyapa pemimpin-pemimpin berkenaan. Setelah 2 tahun 4 bulan bergelumang dalam dunia memberdaya masyarakat, serangan secara berdepan oleh Recep Tayyip Erdogan terhadap Shimon Perez memaksaku untuk mencoret sebaris dua luahan daripada apa yang terbuku di hati.

Mungkin bagi sesetengah orang, apa yang menimpa umat Islam tidak mempunyai nilai sentimental. Namun, daripada apa yang telah aku lalui dan yang telah aku lihat sendiri, serangan Israel ke atas Palestin kali ini menandakan bermulanya langkah-langkah awal hancurnya pakatan jahat Zionis ke atas dunia Islam. Sungguh, aku tidak dapat menggambarkan bagaimana kebangkitan semula masyarakat Islam terhadap penindasan tersebut. Yang pasti, semangat membara serta kesedaran untuk mengangkat martabat agama ke tahap yang paling tinggi tidak dapat disekat lagi.

Namun begitu, pelbagai halangan terpaksa ditempuhi samada sedar atau tidak. Cabaran-cabaran ini tambah menyakitkan apabila terpaksa berdepan dengan golongan yang cetek akal dan dangkal fikiran di kalangan sesama agama. Lebih menyedihkan, golongan ini telah menggadaikan kepentingan agama dan meletakkan kerja-kerja da’wah sebagai kerjaya sampingan.

Saya sangat bersyukur kerana diletakkan dalam sebuah organisasi di mana saya tidak pernah bermimpi yang saya akan berada disini suatu hari nanti. Cita-cita saya untuk menjadi seorang usahawan direhatkan seketika untuk bersama-sama mendokong visi dan misi organisasi ini yang melangkaui batasan pemikiran yang sempit.

Saya percaya, ramai di luar sana yang memasang cita-cita untuk menjadi juruterbang seawal usia kanak-kanak dan akhirnya berjaya memenuhi impian tersebut. Dan ramai juga yang meletakkan segunung harapan untuk berjaya dari sudut material tetapi berakhir tidak seberapa. Pertembungan antara mereka yang berhasil menggapai cita-citanya dan orang-orang yang terpaksa akur dengan ketentuan takdir adakalanya sangat tajam. Fastabiqul khairaat turut dilihat dalam konteks yang cukup sempit.begitu juga dengan disiplin islami yang tidak lebih sekadar retorika.

Allah telah menggilirkan antara kejayaan dan kegagalan, kemasyhuran dan kehinaan, senang dan susah. Manusia, dengan segala ikhtiar yang ada, terpaksa menurut kehendak sunnatullah ini, dan kelompok ruwaibidhah pun teraba-raba mencari tanah untuk menanam rumput. Sudahlah terpaksa memikirkan bagaimana untuk untuk menghadapi musuh hakiki, terpaksa pula berdepan dengan golongan lekeh katanya hendak membela umat.

Wahai para ilmuwan serta cerdik pandai pimpinan organisasi ini, aku ini adalah insan yang paling lemah diantara kebanyakan manusia. Hati kecilku tidak dapat menanggapi apa sebenarnya yang kalian cari. Kenapa sebegitu dangkal wawasan kalian terhadap umat?? Nampaknya, angka-angka di skrin serta slip-slip gaji benar-benar telah membutakan seluruh pancaindera kalian demi besi buruk dan tanah-tanah keras. Sedarlah, sebelum kalian disedarkan…

No comments: