Tuesday, January 15, 2008

Keajaiban yang Dijanjikan

Seronok rasanya apabila pencarian sebab selama ini hampir diketemukan. Terasa ingin untuk berkongsi pandangan dan pengalaman dengan saudara-saudara yang sedang menatap huruf-huruf ini. Ramai di kalangan teman-teman penulis yang sering menggunakan perkataan kuasa. Saya teringat sewaktu berada di Medan, Indonesia di salah satu kedai bukunya, buku-buku disusun di rak mengikut tajuk. Kebetulan kedai buku tersebut memasarkan buku-buku Islami, rak-rak bukunya tersusun kemas mengikut kategori tertentu.

Salah satu daripada sederetan judul-judul buku yang menarik perhatian saya ialah berkenaan dengan sedekah. Dengan tajuk-tajuknya yang menarik, penggali-penggali khazanah Al-Quran dari sudut praktikal pasti tergoda. Sebagai contoh, sebuah buku yang bertajuk menjadi kaya dengan sedekah. Saya telah membeli buku ini dan mendapati ianya sungguh memberi inspirasi untuk bersedekah. Seperti yang dinyatakan oleh seorang trainer terapi sedekah dalam mencapai peringkat yang lebih tinggi dalam beragama, sedekah merupakan salah satu latihan yag dapat membersihkan jiwa daripada debu-debu duniawi.

Satu contoh yang dikutip daripada pengalaman Dr. Sulaiman Sultan, pernah suatu ketika beliau mempunyai RM3 di dalam sakunya dan hanya itulah sahaja wangnya yang ada. Selesai mengerjakan solat, hati beliau terdetik untuk menyedekahkan kesemua wangnya ke dalam tabung masjid sebagai ikhtiar terakhir bagi mendapatkan rezeki pada hari itu.

Janji Allah itu benar. Sejurus selepas beliau tiba di rumah, seorang sahabat datang menziarahi keluarganya dan menghulurkan bantuan kewangan sebanyak RM300. kepada anaknya. Saudara boleh mencongaknya sendiri bukan? Ya! 100 kali ganda! Apakah rahsia disebalik semua ini? Insya Allah, saya akan mengupas isu-isu berkaitan sedekah ini dalam tulisan yang akan datang.

No comments: